Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

XPDC Merdeka “Awesome River”

Lubuk Batu Hampar, lokasi wajib untuk dicuba apabila berkunjung ke ‘Awesome River’. Tetapi agak azab untuk sampai ke sini.Ekspedisi yang telah dirancang setengah tahun sebelum itu pada awalnya disertai 14 ahli tetapi akhirnya berkurangan akibat sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Berkekuatan hanya 8 orang, kami gagahkan juga untuk terus merealisasikan ekspedisi ini demi satu tujuan yang digilai pemburu spesies sungai pergunungan iaitu mencungkil keluar ‘raja sungai’ dari pertapaan lubuk-lubuk ‘Awesome River’ itu nanti…

Teks & Fotografi : JANG AMIN

Ekspedisi sempena cuti Hari Merdeka ini mendapat kerjasama Khairul Izuan yang bertindak sebagai jurupandu dan Afzal yang kedua-duanya dari Felda Keratong. Setelah penat melalui perjalanan yang agak jauh, kami melelapkan mata seketika sebelum 8 pagi. Setelah semuanya sedar dan menjamah sedikit sarapan roti canai yang ditapau tadi, kami berlapan bertolak ke sempadan hutan simpan dan ladang kelapa sawit untuk memulakan aktiviti trekking.

Abu, Pendi dan Mie Kendo melepaskan lelah seketika sebelum menyambung perjalanan ke tapak khemah utama.

Bukit Kecut Otak

Sejam pertama merupakan tempoh yang amat mencabar kerana kami terpaksa melalui trek yang terus menerus mendaki bukit berketinggian lebih kurang 800 meter. Bukit ini juga diberi nama gelaran ‘Kecut Otak’ dek mungkin kerana otak kita akan terasa mengembang dan menguncup sebaik tiba di puncak bukit. Perkara yang sebenarnya mungkin kita terlalu penat akibat mendaki bukit tersebut, dan keadaan mengah-mengah dalam menyedut oksigen membuatkan kita berasa sedemikian.

Setelah melepaskan lelah di enam ‘check point’ sepanjang trek, Alhamdulilah, segala penat lelah berbaloi apabila kedengaran deruan jeram menunjukkan laluan kami betul membawa ke ‘Awesome River’ tersebut. Kami selamat sampai jam 12.30 tengahari, dan mula membuat tapak perkhemahan setelah menjamu selera dengan hanya makan nasi putih berlauk sardin. Masing-masing mencuri peluang untuk berehat seketika di dalam hammock, ada yang di dalam stretcher serta tidak kurang yang hanya mengalas ground sheet untuk baring seketika.

Kelihatan seorang demi seorang menghilangkan diri dengan set pancing masing-masing. Tidak ketinggalan juga saya, Fendi dan Fauzul telah menghilir Awesome River dan mencari spot lubuk yang menarik untuk dicuba. Fendi telah ke hilir lagi berseorangan, saya dan Fauzul menumpu di kepala lubuk yang agak dalam dan berselekoh di ekor lubuknya.

Setelah hampir sejam menunggu, rentapan kasar berlaku pada pancing Fauzul. Dengan pantas Fauzul menjulang joran dan mengarau secepat mungkin. Suspek kelihatan ingin menuju ke reba kayu yang berserepah di sebelah kiri lubuk. Pengalaman menyebelahi Fauzul memujuk dan menjinakkan suspek tersebut. Alhamdulillah, teriakan kegembiraan Fauzul memecah keheningan hutan petang itu. Kelah bersaiz 2.5 kg berjaya Fauzul daratkan.

Fendi yang kemudiannya tiba juga di tempat kami setelah tepu di lubuk hilir membawa berita yang agak merunsingkan kami iaitu beliau terserempak sekawanan gajah yang sedang makan pucuk-pucuk buluh. Nasib baik beliau perasan dari awal dan segera patah balik ke arah kami.

Kelah merah berskala 2.5 kg yang berjaya dijinakkan Fauzul pada hari pertama.

Setelah makan malam ala kadar berlaukkan lampam yang dipancing Afzal, kami tidur awal pada malam pertama bagi mengecas semula tenaga yang telah banyak dihabiskan semasa trekking siang tadi. Dengan hanya bertemankan cahaya suram lilin dan lampu LED Camping Set, semuanya lena kepenatan sehingga ke dinihari.

Lubuk Lejen

Pada hari kedua, awal-awal pagi semua sudah menghilangkan diri. Trip kali ini, tidak ramai yang turun untuk casting memandangkan keadaan sungai yang keruh akibat hujan malam hari. Lebih kurang jam 9 pagi, Afzal pulang ke kem dengan seekor kelah biru 300 gram, Alhamdulillah lesen… teriaknya.

Setelah nasi goreng saya sediakan untuk sarapan dan selepas perut dialas, saya, Fauzul, Mie Kendo dan Pendi mencuba nasib di lubuk yang ‘lejen’ bagi pemburu-pemburu kelah di sini. Semasa menghulu sungai, Pendi terserempak kijang jantan ketika menyusup-nyusup dalam trek yang memang sudah tidak kelihatan menuju ke lubuk batu hampar.

Hampir 2 jam trekking, kami sampai ke lubuk lejen tersebut. Tenang dan mendamaikan kelihatan lubuk ini, kicauan burung-burung sedikit-sebanyak menghiburkan hati kami dalam sabar menanti santapan rakus sang raja sungai. Penantian yang lama kami agak hampa, lampam sungai, seluang bada dan terbul saja yang sudi menggetu sawit peram kami. Sehingga lewat petang, kami semua trekking pulang ke khemah.

Penghuni di lubuk inilah yang banyak membuli pemancing kelah tegar dan dengan licik dapat melepaskan diri akibat struktur dasar lubuk yang penuh reba.

Dalam perjalanan, Mie Kendo menceritakan yang beliau hanya sempat mendengar drag jorannya berdecit-decit akibat sawit peram direntap rakus sang raja ketika beliau sedang menunaikan solat. Akibat kedudukan beliau yang agak jauh, tiada seorang daripada kami pun yang dengar apatah lagi perasan joran beliau telah tertonggeng di gigi air sungai. Putus dan berbulu-bulu tali utamanya, akibat geseran ke batu dasar sungai kesan larian kelah. “Tak apalah, takde rezeki aku,” katanya. “Tak kusyuk aku sembahyang…” tambahnya lagi.

Abu pula menceritakan pengalaman beliau terjun ke lubuk untuk menyelamatkan ikan yang dipancing terbelit reba kayu di hujung lubuk. Beliau sangkakan kelah, sebaliknya ikan kerandang bersaiz sekilo lebih. Umpan udang sungai, katanya.

Tersungkur

Hari ketiga, sebaik sahaja menunaikan solat subuh, saya dan Afzal awal-awal menuju ke lubuk yang berpotensi tinggi untuk menaikkan kelah mega. Perkhabaran itu ada buktinya apabila trip sebelum ini kelah berskala 6 kg berjaya dijinakkan di lubuk tersebut. Hari ini, semua fokus ke hilir sungai dan tiada seorang pun menuju ke hulu. Air sungai masih berwarna ‘bulu baboon’ yang mana memang sesuai untuk menduga kelah siang hari.

Setengah hari kami berdua di lubuk tersebut dan hanya getuan anak-anak ikan sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa bosan. Menu tengahari hanya mee segera saja yang saya masak di tepi lubuk demi untuk tetap fokus 100% menaikkan kelah. Detik demi detik penuh sabar menanti, entah macam mana saya boleh terlelap dek angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup manja.

Jang Amin dan Afzal bergambar bersama 2 ekor kelah yang berjaya dijinakkan dalam trip ini.

Tiba-tiba, sayup-sayup kedengaran suara Afzal berteriak umpama dalam mimpi. “Jang… rod kau tu!” Tersentak dari lena, saya dapati joran sudah pun tertonggeng, tali yang menambatnya tegang dan tali Berkley Big Game 20 paun saya berdecit-decit keluar. Dalam keadaan kelam-kabut ingin mencapai joran tersebut, saya jatuh menyungkur dan kaki luka akibat tertikam kayu pancang pancing. Joran saya gapai dan julang setinggi yang mungkin, sakit yang tengah dialami saya lupakan seketika, bermulalah aksi tarik-menarik saya dengan penghuni lubuk.

Terasa berat seumpama menarik batu besar dari dasar sungai. Suspek tidak mahu mengalah, tali dibawa lari ke arah reba di hujung lubuk. Saya bertahan dan dalam masa yang sama cuba mengetatkan drag kekili Ryobi Kreger 4000 sedikit demi sedikit dengan harapan kelah berhenti dan saya berpeluang untuk mengaraunya dekat. Tidak sempat berbuat demikian, kelah dengan bijak telah berjaya juga menuju dan melilit reba tersebut, akhirnya putus.

Kena Buli

Pada malam itu, kami banyak menyembang dan berkongsi apa yang berlaku siang tadi. Boleh dikatakan semua ahli komplot dapat merasai tarikan rakus sang penunggu di lubuk-lubuk ‘Awesome River’ ini, cuma belum ada rezeki untuk mendaratkannya.

Azmie yang duduk bersebelahan lubuk Pendi di hilir pun dibuli sehingga talinya putus. Tidak kurang juga Pendi yang diasak sehingga sang raja sungai memecut sampai ke lubuk bersebelahan yang ditunggu Azmie yang berkesudahan terbelit di reba dan rabut. Abu pula terjun untuk kali keduanya di lubuk semalam untuk mendapatkan trofinya yang turut rabut di gigi air.

Selepas makan malam, lewat juga selepas bersembang kami turun semula di lubuk-lubuk berhampiran untuk mencuba nasib lagi. Malam ini bulan agak terang menunjukkan kemungkinan keesokan harinya cuaca baik. Bak kata orang lama, spesies ikan bersisik memang susah hendak menjamah umpan dalam keadaan ini. Umpan cengkerik yang dari awal tidak digunakan menjadi pilihan, jadilah… ada juga nak dibawa pulang ke rumah nanti walaupun ikan baung.

Pagi-pagi hari ke-4, selepas mengalas perut dengan sarapan mee segera ala kadar, semua bergegas ke lubuk berhampiran khemah saja mencuba nasib buat kali terakhirnya. Namun hanya lampam sungai yang sudi. Awesome river pun kelihatan semakin jernih.

Jam 10 pagi, semua berkumpul mengemas tapak khemah dan membakar sisa-sisa makanan, plastik dan sampah yang ada. Tiada lagi kelah yang berjaya dinaikkan. Inilah adat pemancing sungai pergunungan, adakalanya mewah dengan hasil, adakalanya kurang. Dendam kesumat tersemat dalam diri masing-masing yang telah dibuli sang raja ‘awesome river’.

Kecerdikan kelah mega di sini melepaskan diri membuatkan kami berfikir panjang dan bertukar-tukar idea bagaimana ingin menumpaskan juga kelah mega ‘awesome river’ itu nanti. Keadaan semulajadi lubuk yang penuh reba kayu serta keadaan dasar lubuk yang berbatu besar amat menyukarkan persembahan kami dan memberi kelebihan kepada penghuninya.

Terima kasih ‘awesome river’ memberikan kami peluang merasai permainan raja sungai di sini. InshaAllah jika tiada aral kami akan kembali semula pada tahun 2018.

CARA MENJEJAK ULAT BULUH @ LUNDI BULUH

Saya mengenali ulat buluh ini semenjak berkongsi lubuk dengan penduduk peribumi di tempat saya bermastautin Kuala Kubu Bharu, Selangor. Ulat buluh ini amat disukai kebanyakan spesies ikan di jajaran sungai-sungai di Malaysia. Spesies seperti baung, lampam sungai, lampam jawa, terbol, sia, kerai dan pernah Orang Asli di sini menceritakan kepada saya ikan kelah pun kerap dinaikkan menggunakan ulat buluh ini sebagai umpan.

Saya berkesempatan belajar bagaimana untuk menjejak ulat buluh ini dari sahabat saya berketurunan Orang Asli di Kuala Kubu Bharu ini. Berikut adalah turutan gambar akan bagaimana anda boleh menjejak sarang ulat buluh yang kebiasaannya akan mendiami 3 – 4 ruas pada sebatang buluh sahaja.

Cari buluh dari jenis ‘buluh betong’ dan ‘buluh padi’ yang kebiasaannya didiami oleh ulat buluh ini.

Lihat buluh muda yang tengah yang memiliki ruas yang rapat, dan di sinilah kebiasaannya didiami ulat buluh. Usah terkeliru dengan buluh yang belah kanan sekali (dinding buluh berlubang) yang sebenarnya telah dirosakkan oleh spesies ulat perosak lain, bukannya angkara ulat buluh.

Buluh seeloknya ditakik dahulu sebelum ditebang untuk memastikan benar-benar terdapat ulat buluh di dalamnya.

Hasil keseluruhan ulat buluh… ada lebih kurang 30 ekor untuk sebatang buluh.