Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

YFT – Pelagik Misteri Maldives

Pantai berpasir landai di Lhavanyni amat sesuai untuk pancing layang.

Di kepulauan Maldives, para nelayannya mengakui bahawa ikan tuna sirip kuning (yellow fin tuna a.k.a YFT) adalah spesies yang lebih tinggi darjatnya berbanding GT. Walau bagaimanapun, pemancing sangat keberatan untuk menerima hakikat bahawa YFT adalah ikan yang elusif dan sukar ditundukkan. Tahukah anda, walau sehebat mana pun teknik memancing anda, ia tetap bukannya mudah untuk menjinakkan YFT kerana ia adalah ikan penghijrah yang misteri…

Teks & Fotografi : ERIC LIM

Walaupun tiada alat sonar di atas kapal, anda masih boleh mencari GT berdasarkan ilmu pengetahuan memancing yang biasa. Selagi airnya tidak begitu dalam, berterumbu karang, berbatu, bercenuram atau adanya struktur lain, kebanyakan kita akan dapat menjejak GT.

Bot Anglers Connection 2 sepanjang 37 kaki amat pantas memintas gerombolan tuna.

Berbeza dengan YFT, ia adalah ikan pelagik yang jarang tinggal di struktur yang sama untuk tempoh yang lama. Walaupun anda cukup bernasib baik untuk menemui sekumpulan YFT yang sedang menggila di permukaan air, mereka akan tiba-tiba hilang apabila bot menghampirinya.

Eric mengalahkan tuna besar dengan jigging perlahan. Jig yang laku itu ialah SFC Spunky.

Sejak saya mula-mula datang ke Maldives pada tahun 1999, YFT ibarat dewi di hati saya. Lantaran hubungan profesional (penulis adalah pemilik bot pancing Anglers Connection), dalam sepuluh tahun ini, saya tidak tahu berapa kali saya telah ke Maldives. Walaupun berulang kali melihat kumpulan YFT mendidihkan permukaan lautnya, saya berasa malu kerana sehingga sekarang saya tidak berjaya menangkap waima seekor pun!

Trip memancing kali ini juga saya menaruh impian terhadap YFT, begitu juga tiga rakan saya. Biarpun kami semua telah menikmati isi ikan mahal ini, tetapi kami tidak pernah mempunyai peluang untuk bertarung joran dengannya. Kami perlu bertekad untuk mesti dapat menumbangkan salah seekor daripadanya!

Kerapu hitam diperdaya oleh jig perlahan apabila tuna tidak kelihatan.

Membaca Corak Terbang Burung Laut

Untuk memburu YFT di laut luas, selain mempunyai bot yang cukup laju, kita juga memerlukan kapten yang berpengalaman. Apabila tiba di perairan di mana kumpulan ikan kecil sering dilihat, iaitu kawasan air cetek dan kawasan cenuram di sekitar atol, selain keupayaan pemerhatian mata kasar, kapten akan menilai di mana kedudukan YFT berdasarkan aktiviti burung laut yang terbang di atasnya.

Kepelbagaian spesies ikan yang cantik ditangkap dengan mengilat gewang di pantai.

YFT adalah sumber protein utama bagi penduduk Maldives. Ikan ini boleh ditangkap sepanjang tahun, tanpa mengira musim. Tetapi ikan ini dilindungi dengan ketat oleh Jabatan Perikanan Maldives. Kaedah menangkapnya hanya dibenarkan dengan cara memancing sahaja. Pengunaan rawai dilarang sama sekali. Oleh sebab itu, populasi YFT Maldives dapat dikekalkan dengan sangat subur dari segi kuantiti dan saiz.

Kali ini kami sangat bernasib baik, Kapten Mufeed menemui burung laut dari kejauhan. Apabila burung laut ditemui, kapten yang berpengalaman mampu menilai saat memancing yang tepat melalui corak penerbangan burung laut itu.

Apabila sekumpulan ikan pemangsa pelagik mengesan sekumpulan ikan mangsaan, mereka akan mengambil pendekatan untuk memaksa kelompok ikan itu berkumpul di bawah permukaan air. Apabila ikan mangsaan naik ke permukaan air, tidak ada cara lagi untuk mereka melepaskan diri. Walaupun kapten tidak dapat melihat menerusi air, beliau masih boleh meneka jika ikan mangsaan berada di permukaan atau di aras yang lebih dalam dengan memerhatikan corak terbang burung laut di atasnya.

Mengilat YFT telah merangsang adrenalin Kelvin Lee.

Tuna kecil yang ligat mengejar swimbait!

Apabila ikan mangsaan dipaksa ke permukaan oleh ikan pemangsa di bawahnya, ia adalah peluang terbaik untuk burung laut mengambil kesempatan dengan menjunam dan menerkam mana-mana ikan kecil yang tidak dapat melarikan diri atau terluka.

Walaupun kapten tidak dapat melihat menerusi air laut, kapten boleh bergantung kepada pola terbang burung laut itu untuk mengetahui sama ada YFT berada di permukaan atau jauh di dalam air. Apabila burung laut dekat dengan permukaan laut, ini bermakna kawanan ikan mangsaan telah dikejar sehingga ke permukaan air, dan di bawahnya adalah kawanan tuna. Selagi bot boleh sampai ke jarak lontaran pada masa yang tepat, peluang untuk menjinakkan ikan tuna itu adalah tinggi.

Sebaliknya, jika burung laut terus berputar di langit, itu bermakna ikan mangsaan telah tenggelam kembali jauh ke dalam air. Pada masa ini jika bot menghampiri, anda bukan sahaja gagal menjebak ikan tuna, tetapi juga akan menakutkan kumpulan ikan mangsaan, lalu memaksa mereka tenggelam jauh lebih dalam.

Apabila anda memburu tuna, GT menjadi pencuri gewang yang tidak diingini!

Peralatan Memancing & Teknologi

Kapten menilai saat yang tepat dari jauh, dan dengan cepat memandu bot ke kawasan sekitar sebaik sahaja dia melihat burung laut terbang rendah atau menjunam ke laut. Enjin dimatikan dan bot dibiarkan hanyut melewati pinggir kawasan itu. Walaupun bot agak dekat, ia tidak menakutkan kumpulan ikan kerana saiznya yang kecil, dan kita boleh membaling popper atau swimbait ke tengah-tengah kawasan itu tanpa banyak tenaga dikeluarkan.

Barry Lim akhirnya melengkapkan impian memancing YFT, dengan keterujaan yang sukar dibayangkan!

Apabila YFT sedang gila menyambar mangsanya, tidak kira apa warna, bentuk atau aksi gewang, semuanya menjadi super berkesan! Walaupun ia gagal menyambar tepat, YFT akan terus meligan. Gewang biarpun rabut dibaham, dengan segera akan disambar oleh ikan lain! Keterujaan YFT mengejar popper secara agresif di permukaan hanya boleh dinikmati oleh mereka yang telah mengalaminya!

Selain gewang permukaan, ada rakan yang mencuba teknik jigging perlahan yang popular. Jigging perlahan adalah alternatif terbaik apabila kawanan YFT menghilang dari permukaan air kerana mereka telah mengekori kawanan mangsanya ke aras yang lebih dalam, dan teknik ini selalunya mampu menjebak tuna yang lebih besar!

Dalam trip ini, kami berjaya mendaratkan 30 ekor YFT, dengan individu terbesar hampir 30 kg! Selepas bertahun-tahun berusaha dengan gigih, barulah impian kami akhirnya menjadi kenyataan.

YFT yang kami temui kali ini kebanyakannya menunjuk skala lebih 20 kg. Set PE 6 dengan kekili yang boleh mengisi 300 meter tali PE 6 dan gewang seberat 100 – 160 gram dapat mengatasi keupayaan YFT. Namun jika ikan sasaran adalah bersaiz 50 kg ke atas, anda perlu mempersiapkan diri dengan set PE 8.

Kebanyakan kami menggunakan joran popping FCL Labo dan Carpenter, kekili Shimano Stella dan Twinpower 14000XG, manakala gewang model seberat 120 gram. Bagi jigging perlahan, kami menggunakan joran no. 3, tali sulam PE 2.5 dan jig seberat 260 – 320 gram.

Double bonus biasa berlaku apabila jigging perlahan berhampiran cenuram.

Khoo Wee Lee, satu-satunya pemenang bertuah menjinakkan ikan merah coreng.

Kekili 14000XG dipilih kerana gelendongnya dapat mengisi tepat 300 meter tali sulam PE 6, yang cukup panjang untuk permainan gewang permukaan kerana lubuk YFT di Lhavanyni Atoll tidak begitu dalam.

Kekili 14000XG beratnya hanya kira-kira 700 gram, sangat sesuai untuk pemancing novis beraksi dengan lebih mudah. Kadar karauan 134 cm setiap kayuhan juga sangat selaras dengan keperluan untuk mengarau semula popper atau swimbait dengan cepat.

Bagi tali pancing, kami sentiasa menggunakan Varivas Amani GT atau Sunline Cast Away Monster PE. Kami mendapati prestasi tali-tali buatan Jepun lebih baik berbanding tali lain dari segi daya lontaran dan daya serap kejutan.

Pakej Bot Laju, Sarapan & Tidur

Bot laju bot Anglers Connections AC2 yang panjangnya 37 kaki dipacu oleh dua enjin sangkut 250 kuasa kuda yang cukup pantas untuk mengesan ikan mangsaan di Lhavanyni Atoll. Terdapat kabin kecil di atas bot untuk pemancing berteduh, dan berlindung daripada basah akibat percikan air semasa bot memecut. Sekiranya sakit perut, bilik air ada tersedia.

Kami lebih gemar memilih untuk bermalam di homestay sebuah pulau, berbanding bermalam di atas bot. Bilik-bilik homestay di sini dilengkapi dengan penghawa dingin, bilik mandi dan tandas. Walaupun perabot dalamannya ringkas, ia juga menyediakan keadaan asas untuk pemancing berehat.

Selepas sarapan setiap pagi, kami membungkus makanan tengah hari dan memancing sehingga ke petang. Semasa mencari kumpulan YFT, kapten tidak akan membuang masa dan membiarkan bot berhanyut di kawasan terumbu untuk cuba menjebak sasaran kami yang lain seperti GT, yu, bass merah dan sebagainya.

Walaupun sukan memancing telah bertapak di Maldives selama lebih 20 tahun, hasil pancingan yang produktif masih terus berkekalan hasil kecekapan pengurusan pihak berkuasa, amalan tangkap dan lepas, dan kewujudan padang pancing atol yang tidak bertepian.

Jigging laju dengan jig ringan adalah cara yang gerenti dapat menjebak tuna yang mengekori ikan mangsaan yang lari jauh ke dalam air.

Cuma disebabkan amalan tangkap dan lepas, sesetengah ikan terutama GT menjadi lebih cerdik dan bersikap waspasda. Namun demikian, Maldives masih sebuah syurga memancing yang menjamin setiap pemancing menggapai impian, selagi anda rajin mendengar nasihat kapten, dan mempunyai keberanian untuk mencuba teknik  pancingan yang baharu.

Ikan layaran pun terpikat dengan aksi memukau jig perlahan!

Hidangan Maldivian yang ringkas, tetapi lazat dan berkhasiat.